Alaa berusia 19 tahun ditembak pada Mac 2013.

BIBNINE - LEBANON.
Alaa memainkan video ngeri di telefonnya, detik-detik dia ditembusi peluru, rahangnya hancur, tangannya berlubang dan dadanya berdarah.

"Adakah kamu melihat video ini," tanya remaja Syria itu.

Dari cerita Alan Kurdi yang maut tertiarap di pantai Turki, debu pada wajah Omran Daqneesh ketika mendapat bantuan dalam ambulans di Aleppo serta imej kanak-kanak Syria yang menderita konflik paling teruk yang menjadi ikonik.

Pelbagai laporan media, kanak-kanak ditarik keluar dari bangunan yang dibom, sawan selepas terhidu gas kimia dan lemas selepas bot terbalik ketika menjadi pelarian.

Alaa adalah salah seorang mangsa perang saudara Syria sejak enam tahun di mana agensi kanak-kanak PBB, Unicef menyifatkan semakin teruk kepada kanak-kanak.

Selepas empat tahun dan menjalani 12 pembedahan, Alaa masih membina semula muka dan rahangnya. Malah juga berdepan kemurungan.

Untuk satu tempoh masa yang lama, dia mengelakkan diri melihat mukanya di cermin atau melalui tingkap berkaca.

Dia mengelak bertentang mata dengan orang, takut jika dia dapat melihat wajahnya yang cacat melalui pantulan mata.

Hanya beberapa hari sebelum ulang tahun kedua kebangkitan Syria pada Mac 2013, Alaa yang ketika itu berusia 15 tahun sedang dalam perjalanan dengan kereta bersama adik perempuan dan adik lelaki untuk ke rumah neneknya di tengah wilayah Homs.

Dia mempunyai temujanji doktor dan membuat persedian untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Sebelum ibunya melangkah masuk ke kereta, pertempuran senjata tercetus sekitar sejam di antara pembangkang dan kerajaan tentera Syria.

Mereka terperangkap di tengah-tengah.

"Saya lihat orang yang melepaskan tembakan ke arah kami dengan mata sendiri, namun saya kaku sehingga sesuatu terus ke dalam mulut saya," kata Alaa mengimbas kembali detik cemas itu.

Adiknya Hamida yang kini berusia 17 tahun turut cedera parah sementara adik lelakinya yang berusia 2 tahun terselamat kerana Alaa mengelak peluru dengan tangan melindungi kepala adiknya dan menolaknya keluar dari kereta.

Hamida (kiri) turut cedera dalam insiden Mac 2013.

"Tidak kira berapa kuat saya menjerit, tidak ada yang mendengar saya kerana pertempuran itu sangat hebat," kata Tahani, ibu mereka.

Mereka dibawa keluar dari tempat kejadian yang pada mulanya dianggap telah meninggal dunia.

Alaa dan keluarganya berpindah ke Lebanon sebulan selepas kejadian itu.

"Untuk sebulan, saya menahan dirinya dari melihat diri saya di cermin," kata Alla ketika ditemui dirumahnya di bandar utara di mana dia menetap bersama ibunya, tiga beradik dan bapa tirinya.

Pada mulanya, doktor berdepan kesukaran menyembuhkan kecederaan yang dialaminya sekaligus melemahkan semangatnya.

Seorang doktor berkata, dia akan mati pada bila-bila masa, kata Alaa mengimbas kembali.

Dengan mulut dan lidahnya dijahit, Alaa tidak boleh bercakap selama sebulan. Dia hanya boleh makan makanan bayi.

Menambahkan kesengsaraan keluarga itu, Hamida, adik perempuan Alaa turut mengalami komplikasi akibat kecederaan.

Peluru menembusi badannya, menusuk belakang dan perut dan mengenai buah pinggang, separuh hati dan 12 sentimeter ususnya.

Hamida berkata dia kehilangan bertahun-tahun zaman kanak-kanaknya dengan hanya berada di hospital, menjalani beberapa rawatan dan mengikuti diet ketat.

Dia kini bercita-cita untuk menjadi seorang pekerja penjagaan kanak-kanak.

"Saya mahu kembali ke tahun tahun lalu dan sentiasa mahu menjadi kanak-kanak," kata Hamida.

Pada akhir 2014, seorang doktor dan sebuah organisasi tempatan berjaya mengumpul wang yang cukup untuk pembedahan rekonstruktif Alaa.

Selepas menjalani pembedahan selama 17 jam, Alaa sekali lagi dapat melihat dirinya di cermin.

Tahun lalu, dia melangkah keluar dari pengasingan, kembali ke sekolah untuk belajar seni bina.

Mengimbas kembali detik insiden itu menggambarkan betapa perit kesan akibat peperangan.

Alaa masih melengkapkan rawatan untuk menetapkan implan pergigian.

"Saya mahu selesai rawatan saya. Saya penat. Bertahun lamanya. Rasa sakit di hati saya dan apa yang saya telah lalui tidak akan hilang," katanya.

Menurut Unicef, perang telah memaksa lebih 2.3juta kanak-kanak atau hampir 10 peratus daripada jumlah penduduk pra perang Syria untuk mencari perlindungan di negara jiran.

Save the Children berkata pada 2016, sekurang-kurangnya 3 juta kanak-kanak dianggarkan tinggal di kawasan yang mempunyai pendedahan yang tinggi kepada letupan senjata.

Pengarah Serantau Unicef untuk Timur Tengah dan Afrika Utara Geert Cappelaere berkata, setiap enam jam kanak-kanak terbunuh atau cedera parah di Syria pada 2016 iaitu tempoh yang paling teruk untuk kanak-kanak sejak perang bermula pada tahun 2011.

"Kanak-kanak menghadapi kekejaman teruk. Parut enam tahun peperangan pelbagai dan ia sangat dalam," kata Cappelaera kepada The Associated Press. - sinarharian

Post a Comment

 
Top