PENDAKWAH antarabangsa, Dr. Zakir Naik dikurniakan anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara, anugerah tertinggi daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Anugerah itu disampaikan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pada majlis Ijtimak 150 Cendekiawan Islam Malaysia Bersama Dr. Zakir Naik di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, hari ini.


Pengiktirafan itu merupakan penghargaan kepada Zakir Naik dalam kegiatan pengembangan serta pembangunan ajaran Islam di pentas antarabangsa termasuk di negara ini.

“Anugerah ini tidak membawa apa-apa keuntungan wang ringgit, tetapi ianya sangat memberi makna.

“Oleh yang demikian, PERKASA memberi pengiktirafan melalui anugerah ini kepada Dr. Zakir Naik sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan beliau, misi, dan usahanya untuk Islam,”
kata Ibrahim.


Dalam ijtimak berkenaan Zakir Naik turut menyampaikan syarahan berjudul ‘Menangani Islamofobia, Salah Faham Tentang Islam’.

Zakir Naik yang dilahirkan di Mumbai sebelum ini pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1435/2013M di Putrajaya, pada November 2013. – MYNEWSHUB

Post a Comment

 
Top