JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal yang meninggal dunia di atas motosikalnya kelmarin dipercayai mengalami serangan jantung sebelum rebah setelah pulang dari kerjanya.

Menurut laporan media tempatan, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Yam Kok Kong dan bekerja sebagai jurutera projek di Tuas, Singapura, disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian itu kira-kira jam 6 petang Khamis.

Mendiang ketika itu berada di laluan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) untuk masuk ke negara ini di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang di Gelang Patah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Deputi Superintendan M. Kumarasan berkata, Kok Kong, 56, yang masih bujang dan bekerja di kilang pembuatan kotak suis elektrik itu dalam perjalanan masuk semula ke Malaysia.

“Mangsa beralamat di Taman Bukit Mewah di sini dan baru kembali ke Malaysia dari Singapura di laluan M-BIKE. Pegawai perubatan dari Klinik Gelang Patah mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil besah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, mangsa dipercayai kena serangan jantung,” kata Kumarasan sambil mengesahkan tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

LINK KEDUA MALAYSIA-SINGAPURA

Sejak Jumaat, satu rakaman video kamera litar tertutup berdurasi 56 saat tular menerusi laman sosial dan turut dikongsi melalui aplikasi WhatsApp yang menunjukkan seorang penunggang motosikal rebah di atas motosikalnya.

Kok Kong ketika itu berada di laluan motosikal yang sesak dengan mereka baru pulang kerja selepas melalui Link Kedua Malaysia-Singapura menghubungkan Tanjung Kupang di Johor dan Tuas, Singapura sejauh 1.9 kilometer itu.

Dia melakukan proses rutin semakan dan pengesahan pasport di laluan M-BIKE, tetapi apabila palang keselamatan automatik di hadapannya terbuka, mangsa tiba-tiba rebah ke tepi dan motosikalnya dilihat condong ke sebelah kiri.

Seorang anggota penguat kuasa tempatan yang kebetulan masih lagi berada di lorong berkenaan kemudian dilihat cuba membantu dengan menolak semula motosikal berkenaan tegak selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Insiden dramatik yang berlaku itu menyebabkan beberapa penunggang motosikal lain turut secara spontan turun memberhentikan motosikal masing-masing dan mereka cuba menghulurkan bantuan. – Mynewshub

Post a Comment

 
Top