PENDUDUK di wilayah Zhejiang, China gempar apabila terlihat kelibat seekor haiwan ganas menyerupai Pak Belang berkeliaran di sebuah taman bunga di wilayah tersebut.

Dalam kejadian petang Khamis itu, beberapa warga tempatan yang berkunjung ke taman Huaguoshan Park mendakwa mereka melihat tubuh seekor harimau sangat besar menyorok di celahan semak di taman itu.

Pasukan unit khas polis yang dihubungi kemudian bergegas tiba di tempat kejadian lengkap memakai pakaian keselamatan untuk mengesahkan laporan yang diterima.

Mereka seterusnya meminta bantuan salah seorang pengunjung di situ untuk menunjukkan lokasi kelibat Pak Belang itu namun saksi berkenaan mendakwa dia tidak berani untuk berbuat demikian.

“Tekanan darah saya sudah terlalu tinggi,” katanya yang cukup ketakutan.


Menerusi video yang tersebar, anggota polis berkenaan menyelusuri laluan didakwa tempat harimau itu berehat sehinggalah ke sebuah pagoda dan mendapati ia sedang ‘duduk’ di salah satu bangku yang terdapat di situ.

Pihak polis itu perlahan-lahan cuba mendekati harimau tersebut sebelum mereka ketawa terbahak-bahak apabila mendapati ia hanya sebuah patung harimau yang agak besar.

Pun begitu, anggota polis itu tetap menjalankan tugas mereka dengan membawa patung tersebut ke balai. Setakat ini, tidak dapat dipastikan siapakah pemiliknya. – MYNEWSHUB

Post a Comment

 
Top