Gambar hiasan...

“NAURA pasti menangis dan merayu-rayu jika saya tidak berikan nasi, sedih dan tidak sanggup mendengar rengekannya,” luahan rasa Nan Zakiah Megat Ibrahim, 31, yang berdepan masalah obesiti anaknya.

Pada usia tiga tahun, anak tunggalnya, Nik Naura Dalysa Nik Mohammad Zulhairi mempunyai berat badan 23 kilogram (kg) dan ketinggian 93 sentimeter (sm) sedangkan berat ideal untuk kanak-kanak seusia itu ialah dalam lingkungan 14.5-16kg.

Risau akan kesihatan Nik Naura Dalysa, Nan Zakiah membawa anaknya itu untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar nutrisi dan doktor.

Seorang lagi ibu, Diani Nadia Mat Zin, 35, juga terpaksa memantau bukan sahaja pemakanan tetapi berat badan anaknya Tuah Jibriel Shahrul Fadhel, lima tahun.

Anak bongsunya yang mempunyai berat badan 37kg dan ketinggian 29sm itu, sangat gemarkan makanan berkarbohidrat termasuk nasi, mi dan mihun.

Bimbang akan keadaan itu, Diani Nadia yang bertugas sebagai guru di Pasir Puteh, Kelantan mengambil langkah mengawal pemakanan anaknya.

“Kalau dulu saya beri dia makan tanpa diminta, sekarang tunggu sehingga diberitahu yang dia lapar.

“Saya juga pastikan Tuah Jibriel sentiasa aktif bermain di luar rumah kerana bimbang jika dia tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain seusia,” jelasnya.


Punca obesiti

Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Madya Dr. Hamid Jan Jan Mohamed memberitahu, Indeks Jisim Badan (BMI) normal untuk kanak-kanak pada usia Naura Dalysa dan Tuah Jibriel adalah dalam lingkungan 13 hingga 19kg/m2. Cara mengira BMI ialah berat badan (kg)/tinggi (sm) x tinggi (sm).

Menurutnya, obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Malah, ada kajian mendedahkan proses obesiti seseorang itu bermula sejak dalam rahim ibu.

Ibu hamil yang mengamalkan pola makanan berkalori tinggi, kurang menggunakan tenaga untuk aktiviti harian, mengalami peningkatan berat badan atau tekanan emosi sewaktu hamil berisiko lebih tinggi untuk melahirkan bayi obes.

“Bayi hendaklah diberi makanan seperti yang disarankan, contohnya susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama kelahiran.

“Jika didedahkan dengan makanan bergula, lemak dan kalori tinggi pada usia muda, maka boleh merangsang penghasilan lemak, sekali gus menyebabkan obesiti,” jelasnya.

Secara dasarnya 1,000 hari pertama kehidupan iaitu bermula dari peringkat janin sehingga usia dua tahun adalah tempoh kritikal dan paling penting dalam kehidupan manusia.

Jelas Dr. Hamid Jan, sebarang kepincangan dalam tempoh itu boleh menyebabkan masalah obesiti pada usia muda dan berisiko menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi serta diabetes pada usia awal dewasa.

“Dalam tempoh itu pertumbuhan organ dan fisiologi badan manusia masih aktif. Jika tidak memperoleh zat seimbang, ia boleh menyebabkan pertumbuhan yang tidak normal, sekali gus menjadi punca pelbagai penyakit.

“Kajian jangka panjang juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang obes mempunyai risiko tinggi kekal obes pada usia remaja sehingga dewasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Dr. Norazmir Md. Nor menunjukkan kanak-kanak terdedah kepada makanan berlemak, berminyak dan bergula yang lazimnya murah serta mudah didapati.

“Makanan ringan dan makanan segera bukan sahaja digemari kanak-kanak, bahkan golongan dewasa sedangkan makanan itu boleh menjejaskan kesihatan.

Norazmir menekankan bahawa pendidikan pemakanan harus dilakukan secara berterusan di peringkat sekolah untuk membendung masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.


Budaya

Malah, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sudah mengambil langkah proaktif dalam mendidik kanak-kanak mengenai penjagaan kesihatan optimum serta cara hidup sihat di sekolah.

“Makanan seharusnya menjadi ubat atau penawar kepada tubuh badan, bukannya memudaratkan kesihatan,” tegasnya.

Sebelum ini, media melaporkan kajian Persatuan Pemakanan Malaysia pada 2016 menunjukkan hampir 30 peratus (28.4 peratus) kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berharap, pakar-pakar nutrisi dapat membuat semakan dari semasa ke semasa mengenai pemakanan seimbang di sekolah.

“Kementerian Kesihatan perlu memantau lebih teliti dengan melakukan beberapa kawalan berkala bagi memastikan setiap pelajar sekolah khasnya kanak-kanak dapat menikmati makanan sihat, bermutu, segar dan berkualiti tinggi.

“Sekolah juga harus pastikan setiap pelajar menikmati makanan seimbang yang mengandungi sayur-sayuran, buah-buahan, karbohidrat dan protein,” katanya.

Beliau meminta agar pihak sekolah mempergiatkan aktiviti dan latihan pendidikan jasmani supaya para pelajar sentiasa aktif serta cergas semasa di sekolah. - kosmo

Post a Comment

 
Top