SEEKOR monyet di Taman Mandore, Jodhpur, India menjadi mangsa kekejaman seorang pelancong lelaki apabila ditampar kejam di muka selepas mengumpannya dengan makanan.

Menerusi video yang dimuat naik ke laman Youtube, seorang lelaki berbaju biru yang tidak didedahkan identitinya dirakam menghulurkan tangannya ke arah seekor monyet yang bertenggek di atas pagar di dalam taman berkenaan sebelum menamparnya dan melarikan diri.

Jelas kedengaran beberapa rakan suspek tergelak melihat aksi monyet itu ditampar dan terjatuh ke tanah.

Tidak dapat diketahui apa sebab individu tersebut bertindak menampar monyet itu, sama ada memang suka-suka atau fikirannya terganggu.

Taman itu menarik ribuan pelancong kerana menempatkan tugu peringatan bekas pemerintah Jodhpur dikenali sebagai ‘dewals’.



“Video ini amat menyedihkan dan sangat zalim,” kata Kieran Harkin, Ketua Kempen Haiwan Liar Antarabangsa kepada portal berita Mail Online.

“Rakaman ini amat kejam dan sama sekali tidak wajar.”

“Malangnya, insiden seperti ini masih berlaku maka ia penting untuk menyebarkan mesej bahawa tingkah laku sebegini tidak boleh diterima dan tidak bertamadun.

“Kami juga menggesa platform dalam talian seperti YouTube untuk bertanggungjawab ke atas kandungan yang disiarkan di lamannya bagi mempastikan keganasan terhadap haiwan tidak dimuat naik sebagai satu bentuk hiburan,” jelasnya.

Tambah Harkin lagi, keganasan terhadap haiwan yang dianggap sebagai sesuatu yang lucu adalah sangat membimbangkan.

Manakala Philip Mansbridge, Pengarah Badan Kebajikan Haiwan Antarabangsa UK berkata: “Pelancong perlu memainkan peranan dalam melestarikan hidupan liar bukan menjadi sebahagian daripada kekejaman terhadap haiwan tersebut begitu juga dengan media sosial.”

Video viral itu bagaimanapun telah mencetuskan kemarahan netizen yang menontonnya dan rata-ratanya berharap individu lelaki tersebut dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya. – MYNEWSHUB

Post a Comment

 
Top