Orang Melayu adalah orang yang sangat sensitif jiwanya. Baiknya pada jiwa sensitif ini adalah ia telah mendorong kepada perlakuan sopan dan berbudi pekerti di dalam kehidupan sehari-hari. Budaya di dalam masyarakat Melayu juga amat menggalakkan setiap orang perlu menjaga hati orang lain. Tutur kata juga perlu dijaga supaya tidak terlalu lancang. Jangan sampai terguris hati orang lain dek kerana kata-kata kita itu.

Sensitiviti ini kadangkala berlebih-lebihan, hingga ia turut melibatkan makhluk lain selain daripada manusia. Menjaga hati makhluk lain ini merujuk kepada makhluk-makhluk halus yang dikatakan berkeliaran di alam Melayu. 

Pemikiran masyarakat Melayu pada amnya telah dipupuk sejak dari kecil supaya takutkan pada makhluk-makhluk halus seperti hantu-hantu, syaitan dan iblis. Seseorang yang tidak takutkan hantu tidak digalakkan menyatakannya secara terang-terangan kerana perbuatan itu dianggap sebagai angkuh dan bercakap besar. 

Jika dibandingkan hantu-hantu di dalam masyarakat lain di seluruh dunia, hantu di dalam masyarakat Melayu adalah yang paling cepat sentap, kerana ia sangat pantang mendengar ada orang yang tidak takutkannya. Perbuatan bercakap besar ini dikatakan, akan mendorong para hantu dan syaitan mengacau kehidupan orang yang bercakap besar itu.

Justeru, tindakan menyuarakan keberanian terhadap hantu amatlah ditegah oleh golongan Melayu yang takut terhadap makhluk halus ini.

Orang Melayu sesetengahnya yang sangat takutkan dengan hantu ini, pada kebiasaannya tidak takut pula untuk meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan ke atas umat Melayu Islam sebanyak 5 kali sehari. Malah jika dilaksanakan sekalipun, masih lagi tenang melakukannya pada hujung-hujung waktu tanpa ada rasa takut dan bersalah terhadap Allah. - the-rodok

Post a Comment

 
Top