AIR KEROH – Seorang lelaki terkejut apabila mendapati wang kertas RM100 yang diterimanya ketika membuat pengeluaran dari mesin ATM di sebuah bank di sini, disahkan palsu.

Menurut Mohd Azwim, dia mengeluarkan wang itu kira-kira jam 1 petang di Bukit Baru, Melaka Tengah sebelum dimasukkan ke dalam akaun bank menerusi mesin tunai automatik (CDM) tetapi gagal.

“Hati-hati ye, mesin ATM pun tak selamat, keluarkan wang palsu. Pihak bank pun tak nak bertanggungjawab,” katanya.


Ekoran itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Air Keroh dan dia dimaklumkan bahawa sudah banyak kes yang sama berlaku.

Menurut isterinya Norihas, pihak bank juga enggan bertanggungjawab biarpun wang kertas itu dikeluarkan melalui mesin ATM milik bank berkenaan.

Staf bank mengatakan wang tersebut bukan dimasukkan oleh pihak bank, sebaliknya diuruskan oleh pihak yang bertanggungjawab memasukkan wang itu ke dalam mesin.

“Pekerja bank tu kata, wang dimasukkan oleh pihak safeguard, bukan wang dari bank ini, melalui staf bank ini.

“Bayangkan jika semua wang yang saya keluarkan semuanya palsu? Kita sebagai client mereka, mereka lepas tangan begitu sahaja.

“Bagaimana jika itu saja duit yang kita ada untuk berbelanja, bukankah ini sudah menganiaya pelanggan?” luahnya.

Norihas juga mengatakan beliau tidak teragak-agak untuk menutup akaunnya di bank tersebut sekiranya pihak bank masih enggan bertanggungjawab. – MYNEWSHUB

Post a Comment

 
Top