Seorang juruterbang, menggunakan nama akaun facebook The Pilot, Mohd Hairul Sanot sudi berkongsikan 6 tip untuk mencapai cita-cita menjadi juruterbang penerbangan.

DRAMA bersiri di saluran Astro Ria, Suri Hati Mr Pilot, menyebabkan ramai yang mula mengimpikan kerjaya di awan biru selaku juruterbang.

Apatah lagi, watak utamanya, Kapten Ejaz Fakhri dipikul pelakon tampan semakin meningkat naik, Fattah Amin.

Dalam keghairahan ramai menonton drama bersiri itu, seorang juruterbang, menggunakan nama akaun facebook The Pilot, Mohd Hairul Sanot sudi berkongsikan 6 tip untuk mencapai cita-cita menjadi juruterbang penerbangan.

"Sejak drama bersiri itu disiarkan, menerusi laman Facebooknya, ramai yang mula menghantar mesej secara peribadi kepada saya. Itu yang menyebabkan saya rasa sudi untuk kongsikan tip kepada mereka. Jadi lebih senang. Lagipun kadang kala saya tidak dapat membalasnya dengan cepat kerana bertugas." jelas Hairul.


Berikut adalah 6 tip yang dikongsikan The Pilot untuk menjadi Airline Pilot

1. Kelayakan yang diperlukan adalah SPM.
Fokus 3 subjek dalam SPM. Hanya 3 subjek sahaja, amat mudah. Subjek tersebut ialah Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains (atau Fizik), selain subjek Bahasa Melayu yang wajib lulus.

2. Cari sekolah penerbangan yang baik. Anda bernasib baik jika dapat mengikuti latihan kadet pilot yang diambil oleh Airline sendiri. Jadi tidak perlu risau untuk mencari kerja selepas mengikuti latihan penerbangan.

3. Jaga kesihatan. Salah satu syarat untuk diambil bekerja ialah anda sihat. Bersukanlah tapi bukan mengikuti sukan yang ekstrim. Tiada gunanya jika sampai cedera. Anggota fizikal anda adalah aset dalam kerjaya ini.

4. Simpan duit. Sekolah penerbangan memerlukan belanja sehingga RM300,000. Oleh itu jika tidak mampu, salah satu caranya ialah anda boleh memohon sebagai kadet pilot airline. Ia diiklankan dari semasa ke semasa.

5. Berlatih soalan interview. Salah satu ujian yang mesti dilepasi ialah interview. Boleh beli dan baca buku-buku interview. Salah satu soalan yang famous ialah, kenapa anda mahu jadi pilot?

6. Tambah ilmu penerbangan. Dunia penerbangan adalah dunia teknologi yang baru. Setiap masa ada sahaja update terkini yang boleh dipelajari. Ini amat membantu anda untuk menjadi seorang juruterbang airline yang berkaliber.

7. Berdoalah. Firman Allah SWT berdoalah, nescaya akan Aku perkenankan..

Untuk memasuki mana-mana sekolah penerbangan, jumlah RM300,000 itu adalah perbelanjaan yang diperlukan secara kasar.

Ini kerana meskipun tempoh latihan untuk menjadi juruterbang hanya selama 14 bulan, tetapi ada juga yang terpaksa melanjutkan tempoh latihan itu selama dua tahun. Ini kerana, sesi latihan menggunakan pesawat agak terhad dan memerlukan tempoh menunggu.

"Adakalanya, pesawat rosak dan perlu dibaiki. Jadi pelatih perlu menunggu sehingga kapal terbang boleh digunakan," jelas Hairul yang kini sudah 9 tahun bergelar juruterbang.

Manakala entri terbaharu di Facebooknya juga Hairul menambah bahawa, syarat ketinggian untuk menjadi juruterbang juga berbeza kerana bergantung kepada capaian kepada alat kawalan yang dikenali sebagai 'rudder'.


Sebelum itu, Hairul yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa memberitahu, dia mengambil kursus latihan di Sydney Flight Training Centre, sebelum menyudahkan latihan itu di Asia Pacific Flight Training di Kota Bharu Kelantan pada tahun 2007.

Begitu pun, selain enam tip yang diberikan panjang lebar sebagai syarat untuk menjadi juruterbang, Hairul menambah satu lagi tip yang dianggap kunci utama kepada semua bentuk kejayaan, iaitu berdoa.

Kata Hairul, dengan doa dan restu serta usaha yang dilakukan, segala impian dan cita-cita akan menjadi kenyataan dan diperkenankan oleh Yang Maha Esa.

Drama Suri Hati Mr Pilot disiarkan di saluran Astro Ria dan RiaHD yang diarahkan Michael Ang dan Hadith Omar turut dibintangi pelakon terkenal Neelofa, disiarkan pada setiap 10 malam, Isnin hingga Khamis. - astroawani

Post a Comment

 
Top